GEORGETOWN: Bekalan makanan asas kesemua mereka yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Penjara Reman Pulau Pinang termasuk di kuarters dijamin mencukupi.
Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang, Mohamed Jusoh Ismail berkata, bekalan makanan termasuk yang disumbangkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu dan pihak lain sentiasa diagihkan kepada semua mereka yang terlibat dengan PKPD.
“Tidak timbul isu makanan dicatu atau bekalan makanan tidak mencukupi untuk mereka yang berada di dalam kawasan PKPD.
“Kita juga sentiasa maklum sekiranya ada anggota yang tidak mempunyai bekalan makanan dan setakat ini tiada anggota yang memaklumkan hal itu kepada kami,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Beliau mengulas dakwaan berlaku kekurangan bekalan makanan asas kakitangan serta ahli keluarga Penjara Reman Pulau Pinang yang terlibat dengan PKPD ketika ini.
PKPD di kawasan Penjara Reman Pulau Pinang serta kuarters bermula 15 Oktober lalu bagi membendung penularan Covid-19.
Kluster Penjara Reman Pulau Pinang dikesan pada 5 Oktober lalu selepas seorang banduan meninggal dunia di dalam penjara berkenaan dan setakat ini jumlah banduan yang dikesan positif Covid-19 adalah sebanyak 399 orang.
Menurut Mohamed Jusoh, pihak penjara termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga membekalkan bahan mentah kepada mereka yang tinggal di dalam kawasan PKPD.
“Bahan mentah tersebut juga dimasak serta diedarkan kepada mereka yang bekerja,” katanya.
Katanya, setakat ini lebih 200 banduan yang dikesan positif Covid-19 menunjukkan tanda-tanda pemulihan dan kini ditempatkan di zon hijau.
“Kesemua mereka dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE