Bekalan makanan dijamin cukup, 2,269 anggota penguat kuasa pantau barang dan harga - Utusan Malaysia

Bekalan makanan dijamin cukup, 2,269 anggota penguat kuasa pantau barang dan harga

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan bekalan barang terutama bahan makanan dan keperluan utama dijamin mencukupi pada harga stabil dan munasabah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna  (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, justeru rakyat tidak perlu bimbang dan tidak wajar membuat pembelian panik khususnya di empat negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut beliau, pihak kementerian telah membuktikan melalui tindakan yang telah diambil bagi memastikan bekalan makanan tidak terputus semasa PKP dilaksanakan dahulu. 

Katanya, seramai 2,269 anggota penguat kuasa di seluruh negara sentiasa membuat pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan bekalan mencukupi dan harga barang stabil tanpa kenaikan mendadak. 

“KPDNHEP menguatkuasakan Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 dan semua peraturan subsidiari.  

“Pengilang, pengeluar, pemborong dan peruncit diingatkan untuk memastikan semua bekalan keperluan sentiasa mencukupi. Sehubungan itu pengguna dinasihatkan untuk membeli  barangan mengikut keperluan sahaja dan tiada keperluan untuk menyimpan stok berlebihan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Alexander berkata, para pengguna juga digalakkan membuat pembelian secara dalam talian bagi mengurangkan pergerakan fizikal ke premis perniagaan.  

Katanya, tindakan pembelian menggunakan medium berkenaan secara tidak langsung dapat membantu memutuskan rantaian pandemik Covid-19. 

Alexander juga berkata, jika ada peniaga tidak mematuhi undang-undang, pengguna boleh membuat aduan terus kepada kementerian melalui portal [email protected], Call Centre 1800 886 800,  e-mel [email protected] atau aplikasi telefon pintar, Ez ADU.

Selain itu, katanya, aduan juga boleh dibuat melalui Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245 / 6088 atau talian 03-8000 8000 Malaysia Government Call Centre  (MYGCC) selain menerusi WhatsApp ke 019- 279 4317. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya