ISKANDAR PUTERI: Seorang bayi perempuan berusia 20 hari meninggal dunia disyaki akibat tersedak susu dalam satu kejadian di rumah keluarganya di Forest City, Tanjung Kupang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, bayi perempuan berkenaan disedari tidak sedarkan diri oleh bapa angkatnya yang berusia 35 tahun ketika kejadian pada pukul 10 pagi.
“Ketika kejadian, bayi berkenaan sedang menyusu di rumah sewa bapa angkatnya di Tanjung Kupang. Lelaki itu mendapati anak perempuannya sudah tidak bergerak dan disyaki tidak bernyawa.
“Mangsa kemudian menghubungi Klinik Kesihatan Tanjung Kupang dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.
Dzulkhairi berkata, bayi berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.