Bayi jantung berlubang perlukan bantuan - Utusan Malaysia

Bayi jantung berlubang perlukan bantuan

Nor Hasliza memberi minum susu kepada Muhammad Haziq Nazmi dengan menggunakan tiub di Kampung Kampung Keda Wang, Padang Sera, Kodiang, Kubang Pasu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Seorang bayi lelaki berusia lima bulan yang mempunyai penyakit jantung berlubang dan masalah paru-paru sejak dilahirkan memerlukan sumbangan bagi menampung kos rawatan susulan.

Muhammad Haziq Nazmi Anorazmi yang juga menghidap sindrom down perlu membuat rawatan susulan di Hospital Pulau Pinang dari semasa ke semasa bagi merawat masalah kesihatannya.

Bapanya, Anorazmi Saad, 37, yang hanya bekerja kampung dan ibunya, Nor Hasliza Hashim, 35, pula seorang suri rumah tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi bagi membiayai kos rawatan anak keempat mereka itu.

Nor Hasliza memberitahu, pendapatan bulanan suaminya yang tidak menentu memberi tekanan kepada mereka untuk berulang-alik membawa anak mereka itu mendapatkan rawatan di Pulau Pinang.

“Kami terpaksa menyediakan pembelanjaan kira-kira RM500 untuk tujuan sewa kereta, mi­nyak, tol dan makan setiap kali membawa bayi kami ke Hospital Pulau Pinang.

“Dengan pendapatan suami yang tidak sampai RM1,000 sebulan, memang kami terpaksa berjimat-cermat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Keda Wang, Padang Sera, Kodiang di sini semalam.

Nor Hasliza berkata, bayinya itu mempunyai temu janji de­ngan doktor di Hospital Pulau Pinang pada 14 Oktober ini.

Selain itu, tambahnya, Muhammad Haziq Nazmi juga perlu diberikan susu melalui tiub setiap tiga jam mengikut sukatan yang ditetapkan doktor.

“Alhamdullilah, bayi saya itu baru menerima bantuan wang zakat sebanyak RM300 pada bulan lepas dan boleh dibelanjakan untuk membeli keperluan seperti susu,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga tersebut boleh menghubungi Nor Hasliza di talian 012-4504134 atau me­nyalurkan sumbangan di akaun Bank Simpanan Nasional (BSN), 0299541100367877. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya