GEORGETOWN: Bajet 2021 yang akan dibentangkan 6 November ini perlu memberi tumpuan dan keutamaan kepada sektor kesihatan bagi memerangi pandemik Covid-19.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, selain itu, tumpuan juga harus diberikan kepada usaha memulihkan ekonomi negara termasuk memacu semula ekonomi rakyat yang menerima impak akibat pandemik berkenaan.
“Sektor kesihatan memerlukan peruntukan yang secukupnya bagi memastikan Covid-19 dapat dibendung sepenuhnya.
“Kerajaan Pusat juga diharapkan dapat memberikan bantuan kewangan kepada pelbagai sektor perniagaan bagi memulihkan keadaan ekonomi negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Menurut Kon Yeow, ekoran situasi terkini pandemik Covid-19 ketika ini juga, ramai dalam kalangan rakyat kehilangan pekerjaan.
“Adalah diharapkan menerusi Bajet 2021 yang memberikan tumpuan kepada aspek pemulihan ekonomi, mereka yang kehilangan pekerjaan dapat memperoleh pekerjaan baharu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri telah dimaklumkan terdapat beberapa kes positif Covid-19 melibatkan Kluster Bayan.
“Kluster Bayan ini melibatkan pekerja asing di sebuah kilang, saya difahamkan telah berlaku jangkitan di dalam komuniti yang merupakan kontak rapat kepada kes indeks.
“Kesemua pekerja ini telah disaring serta dikuarantin malah premis-premis yang dilawati juga telah diarahkan tutup sementara untuk proses sanitasi,” katanya.
Tambahnya, orang ramai perlu mendapatkan maklumat rasmi daripada Kementerian Kesihatan (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung kes-kes aktif Covid-19 di negeri ini.
“Kita perlu bersabar dan mematuhi nasihat yang dikeluarkan oleh KMM sekiranya mahu negeri ini kembali menjadi negeri hijau bebas daripada Covid-19.
“Pulau Pinang pernah mencatatkan rekod 100 hari tanpa penularan Covid-19, saya yakin dengan kerjasama rakyat perkara ini dapat dicapai semula,”katanya. -UTUSAN ONLINE