Armada Johor buat laporan polis terhadap Anwar - Utusan Malaysia

Armada Johor buat laporan polis terhadap Anwar

ISMAIL (kiri) dan barisan kepimpinan Armada Johor menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat terhadap Anwar di IPD Johor Bahru Selatan, Johor Bahru, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tindakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mengemukakan jumlah ahli Dewan Rakyat yang didakwa menyokongnya tanpa mengemukakan nama Ahli Parlimen disifatkan sebagai menghina raja dan menggugat kestabilan politik negara. 

Ketua Penerangan Armada Johor, Ismail Abdul Nasir berkata, sewajarnya Anwar mengambil kira keadaan semasa ketika ini di mana kes Covid-19 meningkat saban hari sebelum bertemu Yang di-Pertuan Agong semalam.

Katanya, tindakan Ketua Pembangkang itu jelas tidak menghiraukan keadaan semasa sebaliknya mengutamakan agenda peribadinya sahaja. 

“Sepatutnya Datuk Seri Anwar Ibrahim beri perhatian kepada isu dalam negara ketika ini dan bukan mengganggu gugat kestabilan politik. Malah tindakan Anwar yang tidak mengemukakan senarai nama Ahli Parlimen yang menyokongnya sebagai satu pembohongan kepada Yang di-Pertuan Agong malah boleh menggugat kestabilan politik negara.

“Sekiranya Anwar mempunyai jumlah Ahli Parlimen yang cukup sekali pun, sewajarnya menunggu sehingga keadaan Covid-19 reda dan bukan pada ketika ini semasa rakyat sedang susah akibat penularan pandemik itu,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mewakili Armada Johor membuat laporan polis terhadap tindakan Anwar itu.

Semalam, Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara kira-kira 25 minit bagi mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti ahli Parlimen yang didakwa memberi sokongan terhadapnya.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, dokumen sahih mengenai majoriti kukuh dengan mengumpulkan 120 akuan bersumpah (SD) yang menyokongnya sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pada itu, Ismail menasihatkan Anwar melupakan hasrat beliau sebaliknya memberi tumpuan bagi membantu kerajaan. 

“Anwar perlu tahu ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini kita dapat lihat kes Covid-19 meningkat. Jadi, lebih baik beliau ketepikan kepentingan politiknya dan menghulur tangan membantu kerajaan ketika ini,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya