GEORGETOWN: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri membuat persediaan rapi untuk menghadapi musim peralihan monsun bermula bulan ini sehingga November depan yang dijangka mengakibatkan banjir di beberapa kawasan.
Pengarahnya, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, APM negeri mempunyai jumlah kekuatan sebanyak 1,020 pegawai dan anggota yang bersedia untuk digerakkan ketika bencana.
“Sekiranya berlaku sebarang bencana, kira-kira 50 anggota akan dikerahkan dalam tempoh sejam yang pertama bagi memberi bantuan awal.
“Dari segi persediaan, semua anggota di setiap daerah telah didedahkan tentang kaedah memindahkan mangsa, pengendalian bot serta pengurusan pusat pemindahan,” katanya di sini semalam.
Menurut beliau, dalam keadaan peralihan monsun, bulan Oktober dijangka menerima jumlah taburan hujan yang paling banyak seterusnya mempunyai risiko untuk berlaku banjir.
“Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran negeri, daerah Seberang Perai Tengah (SPT) diijangka mempunyai paling banyak kawasan yang cenderung berlaku banjir.
“Selain itu, kawasan lain adalah daerah Timur Laut, namun, bergantung kepada jumlah hujan dalam tempoh waktu tertentu serta faktor-faktor lain,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, APM negeri mempunyai lima buah menara penyelamat pantai di negeri ini di mana empat daripadanya ditempatkan di sepanjang pantai di Batu Feringghi serta sebuah di Pantai Pasir Panjang, Balik Pulau.
“Ketika peralihan monsun ini, setiap pagi anggota penyelamat pantai akan membuat pemantauan dan penilaian keadaan laut sama ada bergelora atau tidak termasuk jika terdapat ombak besar.
“Sekiranya ada, bendera merah akan dinaikkan sebagai tanda segala aktiviti riadah melibatkan air seperti berenang dan sukan air tidak sesuai dilakukan,” katanya.
Tambahnya, anggota penyelamat pantai akan menasihati pengunjung agar menjauhi pantai dan lebih berhati-hati. -UTUSAN