Anwar serah SD kepada Agong, sifatkan kerajaan Muhyiddin tumbang - Utusan Malaysia

Anwar serah SD kepada Agong, sifatkan kerajaan Muhyiddin tumbang

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dokumen sahih  Akuan Bersumpah (SD) mengenai jumlah ahli Parlimen yang menyokongnya untuk menubuhkan kerajaan baharu di Istana Negara di sini, hari ini.

Beliau dalam sidang media sebentar tadi mendakwa mendapat sokongan lebih 120 ahli Parlimen sekali gus menyifatkan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah tumbang.

“Saya telah tunaikan hari ini dengan persembahkan kepada Agong dokuman sahih mengenai majoriti kukuh dan meyakinkan tentang ahli Parlimen yang menyokong saya.

“Kita perlu beri ruang kepada Agong untuk menjalankan tanggungjawab mengikut lunas perlembagaan dan juga budi bicara Tuanku untuk menelaah dokumen, ” katanya.

Tambah Anwar, baginda meminta ruang untuk memanggil setiap ketua parti dan ahli Parlimen bagi mengesahkan perkara berkenaan.

“Tidak wajar berikan tarikh atau tetapkan waktu, saya dimaklumkan kita hanya perlu bersabar dan gunakan kebijaksanaan, cuma berdasarkan saya, kerajaan Muhyiddin sudah jatuh,” Jelasnya lagi.

Tambah Anwar, dokumen yang diserahkan kepada Seri Paduka adalah berbentuk SD dan pengesahan dokumen ketua-ketua parti.

Dalam pada itu tiada wakil DAP kelihatan dalam sidang akhbar berkenaan melainkan Parti Amanah Negara.

Anwar pada pagi tadi menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara pada pukul 10.30 pagi dengan menaiki kereta Jaguar.

Bagaimanapun pertemuan itu berakhir pada jam 11.30 pagi tadi tanpa sebarang makluman dari Anwar dan beliau hanya melambaikan tangan kepada pihak media sahaja.

Pertemuan tersebut juga difahamkan bagi menyatakan sokongan yang beliau terima daripada ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu dengan jumlah majoriti yang baharu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN