ALOR SETAR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinasihatkan supaya tidak melakukan perkara yang boleh mencemar dan merendahkan martabat bidang politik terutamanya dalam usaha beliau untuk meraih sokongan bagi membentuk kerajaan.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, tindakan Anwar hadir menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara semalam tanpa mengemukakan senarai nama Ahli-Ahli Dewan Rakyat didakwa menyokongnya, jelas menjadi bahan ketawa masyarakat.
“Ada yang buat lawak mengatakan kalau ada nombor saja tapi tak ada nama, sepatutnya pergi ke kedai nombor ekor. Sampai ke tahap itu orang bergurau dengan apa yang dilakukannya itu.
“Oleh itu, janganlah dicemarkan atau merendahkan martabat bidang ini dengan membuat percaturan yang boleh dipermainkan.
“Bidang politik ini mulia di mana kita menguruskan masalah umat manusia, pentadbiran dan pengurusan demi kebaikan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.
Semalam, Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara bagi menyerahkan dokumen sokongan lebih 120 ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.
Sementara itu, Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat pula menyifatkan keputusan Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO yang membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN) merupakan urusan dalam UMNO.
Menurutnya, kenyataan itu hingga kini masih tergantung, malah, UMNO masih belum menyatakan tindakan selanjutnya yang hendak dilakukan.
“Terserah kepada UMNO untuk mengambil tindakan selanjutnya, namun, apa yang pasti, perkara itu tidak langsung menjejaskan kerajaan negeri Kedah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Suraya Yaakob berkata, kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan itu masih di peringkat cadangan Biro Politik UMNO untuk dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan menerusi ahli majlis tertinggi parti itu.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO bagaimanapun berpandangan, adalah wajar untuk parti itu mencadangkan kepada Jawatankuasa Pemandu Muafakat Nasional (MN) bagi mendaftarkan MN sebagai sebuah gabungan politik yang sah.
“Dalam apa keadaan pun, kita doakan agar UMNO akan meneruskan tradisi mengutamakan dasar memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan tanah air serta kesejahteraan bersama dalam mencapai reda Allah yang diperkukuhkan bersama kemuafakatan MN,” katanya. -UTUSAN