KUALA LUMPUR: Sebanyak 113 laporan polis dibuat di seluruh negara terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penyebaran senarai nama 121 Ahli Parlimen menyokong kepemimpinannya.
Susulan itu, polis meminta Ahli Parlimen Port Dickson itu untuk ke hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman esok bagi diambil keterangan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, keterangan Presiden PKR itu bertujuan membantu siasatan berhubung isu penyebaran senarai nama 121 Ahli Parlimen yang didakwa menyokong beliau untuk membentuk kerajaan baharu.
Menurutnya, siasatan diklasifikasikan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Orang ramai juga diminta supaya tidak membuat, menerbitkan atau mengedarkan sebarang kenyataan, khabar angin serta berita yang mempunyai kecenderungan mencetuskan suasana tidak harmoni bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian masyarakat.
“Ini bagi mengelak perpecahan dan suasana permusuhan yang boleh menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Isnin lalu, Huzir mengesahkan Ketua Pembangkang itu diminta hadir pada pukul 11 pagi berhubung penyebaran senarai nama 121 Ahli Parlimen yang menyokong Anwar.
Jelasnya, namun setiausaha sulit Anwar memaklumkan beliau hanya dapat hadir pada 13 Oktober (Selasa).
“Justeru itu, polis sudah menangguhkan temu janji berkenaan sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya. – UTUSAN ONLINE