Agihan royalti dibayar Disember depan - Utusan Malaysia

Agihan royalti dibayar Disember depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Agihan royalti kepada penyanyi dan pemuzik yang terkesan berikutan pembubaran syarikat rekod muzik, Music Rights Malaysia (MRM) Berhad akan dilakukan selewat-lewatnya pada Disember ini.

Perkara itu di persetujui oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI), Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) dan PRISM Performers Verification and Claims Committee (PPVCC) dalam satu mesyuarat pada 5 Oktober lalu.

Menerusi kenyataan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), isu berkenaan sedang ditangani kerajaan dan beberapa rundingan kini sedang dilaksanakan.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat yang diselaraskan oleh KPDNHEP selaku moderator diadakan setiap dua minggu bagi memantau agihan royalti oleh semua pihak terlibat.

“Pihak terlibat disarankan agar mematuhi tempoh yang telah dipersetujui bagi memastikan tiada kelewatan timbul dalam isu ini.

“Bagi mendapatkan penyelesaian terbaik, ahli PRISM harus memberikan sokongan dan kerjasama kepada MDI selaku pemegang amanah untuk mengesahkan nama ahli PRISM yang benar-benar layak menerima tunggakan royalti,” katanya di sini semalam.

Pada 10 Julai lalu, tiga badan pelesenan muzik iaitu Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) Berhad, Public Performance Malaysia (PPM) Sdn Bhd dan Recording Performers Malaysia (RPM) Berhad mengumumkan pembubaran MRM Berhad.

Tambah kenyataan itu, isu tersebut juga boleh dikemukakan oleh pihak yang terlibat kepada Tribunal Hak Cipta di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sekiranya tiada persetujuan dicapai. 

“Tribunal Hak Cipta boleh menentukan isu yang dikemukakan oleh pihak berkaitan termasuk aduan oleh pencipta karya, pengendali, individu atau organisasi, rayuan oleh badan yang berlesen dan permohonan daripada mana-mana individu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya