‘Abah mula guna rotan’  - Utusan Malaysia

‘Abah mula guna rotan’ 

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan segala arahan yang dikeluarkan kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 di negara ini.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan tidak teragak-agak untuk melaksanakan SOP lebih ketat yang sebelum ini telah diberi kelonggaran jika rakyat terus ingkar dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dilaksanakan pada masa ini.

Tegasnya, jika ada  yang melanggar undang-undang, hukuman kompaun dan lain-lain akan dikenakan tanpa mengira pangkat dan darjat. 

“Maaflah jika Abah ini mula menggunakan rotan!,” kata Perdana Menteri dalam Perutusan Khas yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook dari kediamannya, di sini semalam.

 Perdana Menteri berkata, kerajaan juga sedang meneliti cadangan untuk mengehadkan majlis  dan perhimpunan orang ramai bagi mengurangkan kebarangkalian  jangkitan wabak Covid-19.

Dalam pada itu, Muhhyiddin menegaskan tidak ada double  standard dalam mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian  Kesihatan dan beliau sendiri pada masa ini  sedang menjalani kuarantin di rumah setelah mempengerusikan  satu mesyuarat yang dihadiri oleh seorang menteri yang disahkan positif  Covid-19. 

Katanya, Covid-19 tidak mengenal pangkat atau darjat dan virus itu boleh  menjangkiti sesiapa sahaja, oleh itu SOP yang ditetapkan oleh  pihak berkuasa mesti dipatuhi oleh semua orang.

Sebagai Perdana Menteri, beliau juga tidak terkecuali daripada tertakluk  kepada SOP yang kali kedua beliau jalani sejak pandemik Covid-19 melanda negara. 

“Saya mesti patuh kepada  peraturan. Bersama-sama saya yang dikehendaki menjalani kuarantin di  rumah ialah tujuh Menteri dan 6 Timbalan Menteri. Kesemua mereka  ini juga tidak terkecuali daripada mematuhi arahan kuarantin. Mereka mesti patuh kepada peraturan dan tindakan boleh diambil sekiranya  mereka ingkar,” katanya. 

Perdana Menteri berkata, sebagai Ketua Kerajaan, beliau memantau secara dekat  perkembangan kes-kes Covid-19 dan akan membuat keputusan-keputusan penting untuk membendung virus ini daripada terus menular  dalam masyarakat.

 “Saya harap saudara dan saudari tidak  mudah panik atau membuat kesimpulan sendiri berhubung situasi yang  sedang dihadapi oleh kita semua. Elakkan penyebaran berita-berita palsu  yang boleh menyebabkan kita keliru. 

“Keputusan-keputusan yang dibuat oleh kerajaan khususnya  menerusi Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai  Pengurusan Covid-19 adalah berasaskan kepada data dan fakta yang  dikumpul menerusi sumber-sumber yang mempunyai autoriti.

  “Yang penting ialah kita tidak mudah menuding jari mencari  kesalahan mana-mana pihak. Saya tahu ada pihak yang sengaja  menangguk di air keruh pada waktu ini dengan mempolitikkan masalah  yang sedang dihadapi oleh negara. Jangan kita pedulikan mereka. Kita  mesti fokus kepada usaha untuk menangani pandemik ini secara  bersama,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN