KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan sebanyak 92 sekatan jalan raya (SJR) di ibu negara, Putrajaya dan Selangor pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini.
Jumlah itu membabitkan 64 SJR di Selangor manakala 28 lagi di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, seramai 1,600 pegawai dan anggota polis dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dipertanggungjawabkan untuk mengawal jalan-jalan terlibat.
Tegasnya, orang ramai perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan hanya keluar rumah sekiranya mempunyai urusan penting dan hal kecemasan.
“Ini sebagai langkah untuk memutuskan penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin memberitahu, sebanyak 28 SJR di ibu negara dan Putrajaya dilaksanakan berpandukan SOP ditetapkan kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Jelasnya, individu yang ingkar akan diambil tindakan mengikut peruntukan perundangan sedia ada.
Selain itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menjalankan enam SJR di Gombak, Selangor.
Katanya, antara lokasi terlibat adalah di Kilometer (KM) 14, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh dari kedua-dua arah, Jalan Gombak berhampiran Balai Polis Gombak dari kedua-dua arah, Jalan Desa Aman Puri, Desa Jaya serta Batu 20, Jalan Kuala Lumpur-Rawang.
“Selain itu, tiga jalan iaitu Jalan Lama Gombak-Genting Sempah (simpang kuari), KM 14, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh membabitkan simpang masuk ke Selayang Pandang dan Jalan Besar Selayang Baru akan ditutup.
“Orang ramai boleh menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, KM 14, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh-Selayang Jaya dan Jalan 2, Selayang Baru-Petron-Pasar Borong-Jalan Kuala Lumpur-Ipoh sebagai laluan alternatif di jalan yang ditutup terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Arifai berkata, pergerakan keluar dan masuk ke daerah itu tidak dibenarkan kecuali atas urusan kecemasan atau perkhidmatan penting dengan menunjukkan pas pekerja mahupun surat daripada majikan.
“Bagi mereka yang perlu melalui Selangor ke negeri lain dinasihatkan untuk mendapatkan kebenaran daripada balai polis berhampiran sebelum memulakan perjalanan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa sepanjang tempoh PKPB dikuatkuasakan. Tindakan kompaun akan diambil jika terdapat ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) PKPB,” ujarnya.
Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan Op Covid-19 di talian 03-61262240 atau 03-61262247. – UTUSAN ONLINE