49 individu sedang berhibur kena kompaun RM1,000 - Utusan Malaysia

49 individu sedang berhibur kena kompaun RM1,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Kegembiraan seramai 49  49 individu berhibur di pusat hiburan di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini malam tadi berakhir dengan kesemua mereka dikenakan kompaun kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Kesemua mereka dikenakan tindakan itu dalam Op Covid-19 Pemeriksaan Bersepadu melibatkan polis, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Jabatan Kesihatan negeri selama kira-kira lima jam bermula pukul 9 malam. 

Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, pihaknya mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada setiap individu dalam pemeriksaan di dua premis kafe di Bukit Mertajam di sini.

Selain itu, tambahnya, sebanyak 29 kompaun dikeluarkan di sebuah kafe di Juru manakala tiga wanita warga asing ditahan kerana dipercayai tinggal lebih masa.

“Dalam pemeriksaan di sebuah premis di Icon City, sebanyak 20 kompaun dikeluarkan selain seorang lelaki berusia 30-an ditahan kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen hiburan.

“Seramai dua wanita warga Indonesia pula ditahan kerana kesalahan imigresen,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Sementara itu, Shafee berkata, kebanyakan orang ramai didapati mematuhi SOP dalam pemantauan pihaknya di daerah tersebut dengan kadar pematuhan adalah 98 peratus.

“Bagaimanapun, masih ada yang melakukan kesalahan dikesan seperti tiada penjarakan sosial, premis tidak menyediakan alat pengimbas suhu dan cecair pembasmi kuman yang boleh dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN