450 individu ditangkap ingkar PKPP - Utusan Malaysia

450 individu ditangkap ingkar PKPP

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 450 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP) dengan seramai 378 individu telah dikompaun, 66 direman dan enam lagi dijamin.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tidak memakai pelitup muka (150), aktiviti di pusat hiburan (91), penjarakan fizikal (80),  gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (60) dan terlibat dengan aktiviti pelacuran (21).

Katanya, turut ditangkap ialah 15 pendatang asing tanpa izin (PATI), 10 individu terlibat dengan parti liar dan 21 individu melanggar prosedur operasi standard (SOP) di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco).

“Sebanyak 56,072 pemeriksaan dibuat melibatkan 3,236 Pasukan Pematuhan yang terdiri  daripada 13,487 anggota.

“Pasukan Pematuhan akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta  mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang  tidak mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) di sini semalam.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Operasi Benteng juga telah berjaya menahan 49 PATI, serta merampas sebuah bot dan tiga kenderaan darat melalui 136 sekatan jalan raya.

Katanya, sehingga semalam, seramai 45,208 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan  antarabangsa. 

“Daripada jumlah itu, seramai 9,469 individu sedang menjalani  kuarantin wajib di 68 hotel dan 16 premis lain.

“Sebanyak 129 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 35,610 individu telah dibenarkan pulang ke rumah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN