4 didakwa halang tugas polis - Utusan Malaysia

4 didakwa halang tugas polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Slim River di sini semalam atas tuduhan menghalang tugas penjawat awam, Jumaat lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada P. Panneerselvan, 32; S. Vijandran, 41; A. Sivakumar, 28; dan R. Durai Raaj, 25, selepas masing-masing tidak memahami pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Nurul Hidayah Ismail.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan sengaja menghalang penjawat awam, Koperal Muhd. Syahrul Azuwan Ab Manaf daripada menjalankan tugasnya sebagai anggota polis di mana dengan sengaja tidak memberi kerjasama setelah diberi amaran berulang kali untuk beredar dan gagal mengemukakan kad pengenalan ketika diminta.

Perbuatan tersebut dilakukan semua tertuduh di tepi jalan berhampiran Plaza Tol Slim River pada pukul 3.30 pagi, 16 Oktober lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Nurul Hidayah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin ke atas setiap tertuduh dan menetapkan 26 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan penterjemah bahasa Tamil.

Sementara itu dalam prosiding sama, Durai Raaj didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan cara menolak badan dan membuka zip ‘vest’ polis Muhd. Syahrul iaitu anggota polis dalam melaksanakan kewajipan rasminya sebagai penjawat awam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya