381 ditahan ingkar PKPP - Utusan Malaysia

381 ditahan ingkar PKPP

ISMAIL SABRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 381 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam dengan seramai 370 individu daripadanya telah dikompaun, manakala sembilan direman dan dua lagi dijamin.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tidak memakai pelitup muka (144), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (125), penjarakan fizikal (68) dan aktiviti di pusat hiburan (32).

Menurut beliau, sebanyak 50,218 pemeriksaan telah dibuat melalui 3,205 pasukan pematuhan yang terdiri daripada 13,211 anggota.

“Pasukan ini akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPP yang ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar secara langsung menerusi Facebook selepas Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Operasi Benteng juga telah berjaya menahan 57 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta berjaya merampas sembilan kenderaan darat melalui 102 sekatan jalan raya.

Beliau berkata, sehingga semalam, seramai 44,541 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

“Daripada jumlah itu, seramai 9,719 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 67 Hotel dan 15 premis lain, manakala 129 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan. Seramai 34,693 individu telah dibenarkan pulang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN