376 institusi pendidikan JB tutup - Utusan Malaysia

376 institusi pendidikan JB tutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Kesemua 376 institusi pendidikan di kawasan zon merah di daerah ini akan ditutup bermula 1 sehingga 14 November depan. 

Dalam satu kenyataan Kementerian Pendidikan berkata, keputusan itu dibuat selepas daerah Johor Bahru telah disahkan sebagai zon merah oleh Kementerian Kesihatan ekoran peningkatan kes positif Covid-19. 

Keputusan penutupan itu juga selaras dengan perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung keputusan kerajaan untuk menutup sekolah di kawasan-kawasan yang disahkan zon merah pada 6 Oktober lalu.  

“Keputusan penutupan itu melibatkan sebanyak 376 institusi pendidikan di seluruh daerah ini merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah kementerian, Institusi Pendidikan Guru serta sekolah swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan.

“Senarai institusi pendidikan yang ditutup di bandar raya ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa dan akan dimuat naik di portal rasmi KPM di www.moe.gov.my dan di platform media sosial rasmi kementerian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Menurut kenyataan itu lagi, sekolah dan institusi yang mempunyai asrama juga ditutup. 

Justeru, katanya, ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang. 

“Walau bagaimanapun, murid atau pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa serta murid atau pelajar yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah dan institusi berkaitan sepanjang tempoh penutupan akan berada di bawah penjagaan warden asrama. 

“Keperluan makan dan minum murid serta pelajar sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah dan institusi berkenaan,” kata kenyataan itu lagi. 

Jelasnya, bagi murid-murid yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang telah dijadualkan sepanjang tempoh penutupan institusi pendidikan, mereka hendaklah mendapatkan surat dari sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan.

Tambahnya, sepanjang tempoh penutupan tersebut, pentadbir sekolah serta semua institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru-guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah. 

“Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM.

“Kementerian sentiasa memantau situasi di seluruh negara serta sentiasa bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kemeterian Kesihatan.

“Sebarang pemakluman berhubung penutupan sekolah dan institusi akan dibuat dari semasa ke semasa,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya