ALOR SETAR: Seramai 36 tahanan di Penjara Alor Setar yang positif Covid-19 dan memerlukan pemantau rapi dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, tindakan itu terpaksa dibuat selepas mendapati kesihatan tahanan terbabit semakin terjejas.
Jelasnya, bagi tahanan positif yang didapati dalam keadaan stabil, proses kuarantin mereka dilakukan di penjara berkenaan.
“Saya difahamkan penjara ini mempunyai kira-kira 1,800 banduan, namun tidak semua perlu menjalani ujian saringan Covid-19.
“Hanya banduan yang ada kontak rapat disaring, tetapi, jumlah mereka yang disaring memang meningkat setiap hari,” katanya di sini hari ini.
Bagaimanapun, katanya, beliau belum dapat maklumat tepat mengenai jumlah tahanan yang telah disaring.
“Jumlah sampel saringan yang besar dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Ipoh, Perak, manakala jumlah sampel saringan yang kecil akan diuji di makmal HSB),” katanya.
Sementara itu, beliau meminta orang ramai yang tinggal sekitar Kota Setar tidak panik susulan peningkatan kes Covid-19 membabitkan Kluster Tembok.
Katanya, setakat hari ini, sejumlah petugas penjara dan kontak rapat sudah disaring, selain proses sanitasi turut dilakukan sekitar kawasan kediaman mereka.
“Sanitasi ini dilakukan di kediaman petugas yang tinggal luar kuarters penjara. Bagi mereka yang dikenakan perintah kuarantin, kita berharap mereka kekal di rumah,” katanya. -UTUSAN