PUTRAJAYA: Institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dibenarkan menjalankan peperiksaan yang dilaksanakan oleh penyedia peperiksaan luar negara atau peperiksaan antarabangsa bagi pelajar-pelajar yang terlibat di empat negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Kementerian Pengajian Tinggi dalam kenyataan berkata, keputusan itu melibatkan seramai 3,226 pelajar iaitu 3,031 pelajar tempatan dan 195 pelajar antarabangsa.
Bagaimanapun, katanya, pelajar-pelajar berkenaan perlu mendapatkan surat pengesahan daripada institusi masing-masing mengikut kategori iaitu kategori pertama adalah melibatkan pelajar dan institusi yang terlibat dengan Peperiksaan Cambridge GCE ‘A’ Level, Australian Matriculation (AUSMAT), Canadian Pre-U dan seumpamanya.
“Kategori kedua pula ialah pelajar yang telah berdaftar untuk menduduki peperiksaan dengan penyedia peperiksaan luar negara atau peperiksaan antarabangsa.
“Selain itu, ia melibatkan pelajar yang telah berdaftar untuk menduduki peperiksaan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, pengecualian untuk menduduki peperiksaan itu tertakluk kepada pematuhan IPTS terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan keputusan kerajaan dari semasa ke semasa.
Semalam, kerajaan memberikan pengecualian itu menerusi mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah yang bermula hari ini sehingga 27 Oktober ini. – UTUSAN ONLINE