31 institusi pendidikan ditutup libatkan 19,262 pelajar di Labuan - Utusan Malaysia

31 institusi pendidikan ditutup libatkan 19,262 pelajar di Labuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 19,262 murid dan pelajar melibatkan 31 institusi pendidikan di Wilayah Persekutuan, Labuan ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri itu berkuat kuasa pada esok (17 Oktober) sehingga 30 Oktober.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan berkata, ia melibatkan kesemua institusi pendidikan yang berdaftar dengan kementerian itu termasuk tadika, sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah swasta, Kolej Vokasional dan Kolej Matrikulasi.

Katanya,  penutupan itu juga akan melibatkan institusi pendidikan yang mempunyai asrama. 

“Justeru, ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang. 

“Walau bagaimanapun, murid atau pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama institusi pendidikan sepanjang tempoh penutupan akan berada di bawah penjagaan warden asrama,” katanya di sini hari ini.

Menurut kenyataan, keperluan makan dan minum murid dan pelajar sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak institusi pendidikan. 

Katanya, bagi pelajar yang masih berada di asrama Kolej Matrikulasi Labuan, mereka dibenarkan untuk pulang tetapi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh negeri masing-masing.

“Bagi murid-murid yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang telah dijadualkan, mereka hendaklah mendapatkan surat dari sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan.

“Pembelajaran bagi murid dan pelajar sepanjang tempoh penutupan juga perlu diberi perhatian. Justeru, pentadbir institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru-guru atau pensyarah serta murid dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah. 

“Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun dalam portal rasmi KPM www.moe.gov.my,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN