PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 241 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan seramai 41 individu direman dan dua dijamin.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 198 individu dikenakan kompaun melalui 54,024 pemeriksaan melibatkan 2,241 Pasukan Pematuhan dengan kekuatan 10,527 anggota.
Menurut beliau, menerusi Op Benteng pula, 21 pendatang asing tanpa izin (PATI), seorang tekong dan dua penyeludup ditahan manakala 10 kenderaan darat dirampas melalui 101 sekatan jalan raya.
“Orang ramai diminta menghubungi talian hotline National Task Force 011-62511223 untuk terus menyalurkan maklumat berkenaan PATI dan jenayah rentas sempadan,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, sehingga semalam, seramai 39,628 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 8,734 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 66 hotel dan 11 premis lain.
“Seramai 106 individu pula dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 30,788 individu dibenarkan pulang ke rumah.
“Sebanyak 10,198 operasi sanitasi dilaksanakan sejak 30 Mac lalu merangkumi 135 zon dengan 10 operasi sanitasi dilakukan semalam meliputi empat zon kuning dan lima zon hijau melibatkan empat negeri,” katanya. – UTUSAN ONLINE