2,296 pelajar baharu UTeM daftar atas talian - Utusan Malaysia

2,296 pelajar baharu UTeM daftar atas talian

NAIB Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Raha Abdul Rahim (dua dari kiri) berjumpa dengan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Aiman Shafiq Azizan (dua dari kanan) bersama Setiausaha Kerja Majlis Perwakilan Pelajar, Nurul Khalida Kasim (kanan) ketika ditemui di UTeM, Durian Tunggal, Melaka. -UTUSAN/ RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seramai 2,296 pelajar baharu Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mendaftar secara atas talian bagi sesi akademik 2020/2021 setakat pukul 12 tengah hari ini.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Raha Abdul Rahim berkata, pendaftaran tersebut dilakukan mengikut saranan Kementerian Pengajian Tinggi, selain proses pengajaran dan pembelajaran juga mengikut norma baharu.

Menurutnya, pada sesi akademik ini, seramai 2,687 pelajar baharu sepatutnya mendaftar secara fizikal di kampus pada hari ini dan esok termasuk 290 pelajar antarabangsa.

“Keseluruhan jumlah pelajar adalah 13,600 orang, bagaimanapun UTeM prihatin dan memandang serius perkembangan semasa wabak Covid-19 dan kita mengambil keputusan selari dengan kementerian.

“Malah, setakat hari ini seramai lima orang pelajar baharu telah tiba ke kampus dan mereka dibenarkan untuk terus berada di kolej kediaman seperti biasa atau diberi pilihan pulang ke kampung jika mahu,” katanya ketika ditemui di kampus induk UTeM di sini hari ini.

Jumaat lalu, Kementerian Pengajian Tinggi melalui kenyataan akhbar memaklumkan penangguhan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka pelajar institut pengajian tingggi (IPT) kemasukan Oktober 2020 berikutan perkembangan semasa Covid-19.

Sementara itu, prihatin dengan kesukaran pelajar daripada golongan B40, UTeM turut menyediakan bantuan RM100 kepada mereka yang memerlukan.

Inisiatif tersebut akan diberikan secara ‘one off’ bagi meringankan beban mereka yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.

Menurut Dr. Raha, kira-kira 65 peratus atau lebih 8,000 pelajar UTeM daripada keseluruhan 13,600 dikategorikan berada dalam kelompok itu.

“Selain itu, bagi mereka yang telah berada di kampus, penginapan asrama, kafeteria dan Pusat Kesihatan UTeM dibuka seperti biasa selain kita turut menawarkan perkhidmatan psikologi.

“Kita juga akan sentiasa memantau pelajar-pelajar yang berada di kampus agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penyebaran wabak Covid-19,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya