KLANG: Empat beradik anggota Geng Atam yang aktif menjalankan kegiatan mencuri motosikal ditahan dalam beberapa siri serbuan di sini Isnin lalu.
Dalam serbuan di tiga lokasi itu, 17 lagi individu berusia 20 hingga 43 tahun turut ditahan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, berdasarkan hasil risikan, pihaknya melakukan serbuan di sebuah hotel di USJ, Subang dan menahan ketua geng berusia 26 tahun kira-kira pukul 3.30 petang.
Menurutnya, hasil serbuan polis menemukan rangka motosikal dan barang-barang samun termasuk dadah jenis syabu.
“Hasil soal siasat terhadap suspek telah membawa kepada satu lagi siri tangkapan lain di Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada hari yang sama.
“Kita telah melakukan serbuan di empat buah rumah berasingan dan memberkas lima lagi ahli geng itu termasuk tiga daripadanya adik-beradik kepada ketua geng. Kita menemukan beberapa motosikal curi seperti Yamaha LC dan Honda EX5 serta peralatan yang digunakan untuk melakukan samun di lokasi berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini semalam.
Shamsul Amar berkata, hasil serbuan kedua itu membawa kepada penahanan 15 lagi suspek di sekitar Klang.