GEORGETOWN: Seorang awak-awak warga Indonesia yang dilaporkan hilang dalam tragedi bot karam semalam dijumpai selamat di sebuah sangkar ikan di Pulau Betong, Balik Pulau di sini selepas dihanyut ombak hampir 17 jam.
Mangsa, Sapta Pratama Putra, 25, dijumpai dalam keadaan terapung oleh pemilik sangkar ikan tersebut pukul 8.20 malam.
Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, bot Kilat 4 diarah ke lokasi berkenaan untuk mengambil mangsa sejurus menerima laporan berhubung penemuan seorang awak-awak.
“Ketika ditemui, mangsa masih memakai jaket keselamatan dan kemudiannya di bawa ke jeti Limbungan Batu Maung untuk diserahkan kepada pihak polis.
“Jaket keselamatan yang dipakai mangsa membantunya untuk terapung lebih lama di dalam air seterusnya menyelamatkan nyawanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.25 pagi semalam, bot pukat tunda yang dinaiki tiga awak-awak dan seorang tekong tempatan karam di kedudukan 5.3 batu nautika Barat Daya Muka Head di sini.
Akibat kejadian itu, sseorang tekong ditemui mati lemas manakala seorang lagi awak-awak dilaporkan hilang dibawa arus. – UTUSAN