16 sertai pesta liar ditahan polis - Utusan Malaysia

16 sertai pesta liar ditahan polis

LOW HANG SENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG : Seramai 16 individu termasuk lima wanita yang sedang berpesta liar ditangkap polis dalam serbuan di sebuah rumah inap desa di Taman Seri Impian di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 16 hingga 25 tahun ditahan pada pukul 1.30 petang manakala didapati sembilan lelaki dan seorang perempuan positif dadah jenis Methamphetamine, Amphetamine dan Ketamin.

“Bertindak di atas maklumat awam, pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang telah membuat serbuan di kawasan perumahan Taman Seri Impian dan kemudian turut menemukan syabu dengan anggaran berat 4.87 gram.

“Sehubungan itu, mereka ditahan reman selama lima hari di bawah mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, mereka juga disiasat di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) iaitu tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

Jelasnya, siasatan terperinci masih dilakukan termasuk jumlah hari dan sewa rumah inap desa yang disewa suspek berkenaan.

“Oleh itu orang ramai diingatkan sentiasa mematuhi segala SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dalam membendung penularan wabak Covid-19,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN