Penduduk Selangor, KL Putrajaya 'terkurung' sekali lagi - Utusan Malaysia

Penduduk Selangor, KL Putrajaya ‘terkurung’ sekali lagi

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penduduk seluruh negeri Selangor, Wilayah Kuala Lumpur dan Putrajaya bakal ‘terkurung’ sekali lagi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 14 sehingga 27 Oktober ini.

Sepanjang tempoh berkenaan, kesemua penduduk tidak dibenarkan keluar rumah dan tiada pergerakan rentas daerah kecuali atas urusan kerja yang perlu mendapat surat kebenaran majikan selain kes-kes kecemasan dengan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Kesemua sekolah, institusi pendidikan, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz juga ditutup sepenuhnya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan mengambil kira kes peningkatan Covid-19 dan penularan yang berlaku seperti di Klang, Petaling, Gombak dan daerah-daerah lain yang kebanyakannya telah diisytiharkan sebagai zon merah.

Menurut Ismail Sabri, PKPB itu juga akan turut dikenakan di seluruh Sabah bermula tengah malam ini sehingga 26 Oktober ini yang melibatkan kira-kira empat juta penduduk.

Katanya, antara larangan sepanjang tempoh perintah itu ialah hanya dua orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk  membeli barangan keperluan.

“Kesemua taman-taman awam dan  pusat rekreasi ditutup. Masjid dan rumah ibadat bukan Islam lain adalah ditutup.  Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya termasuk majlis  perkahwinan adalah tidak dibenarkan. 

“Bagaimanapun, semua kegiatan ekonomi di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya masih dibenarkan beroperasi seperti biasa. Senarai prosedur operasi standard (SOP) lebih terperinci akan diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat khas MKN, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) akan dilaksanakan di Felda Umas, Tawau, Sabah memandangkan terdapat kes positif Covid-19 di kawasan itu berkuat kuasa tempoh yang sama.

Katanya, perintah itu akan melibatkan 800 rumah dengan seramai 17,549  penduduk di kawasan tersebut dan perlu mematuhi SOP yang ditetapkan antaranya semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar  daripada rumah masing-masing. 

“Semua laluan keluar masuk di kawasan Temco ditutup kecuali bagi kes kecemasan dengan mengemukakan permohonan  pergerakan kepada pihak polis.

“Kementerian Kesihatan akan melakukan saringan secara bersasar kepada semua penduduk  yang terlibat. Bekalan keperluan makanan akan diagihkan oleh Kerajaan negeri yang  akan dikoordinasi Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri,” katanya. 

Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM),  Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam  Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pihak Berkuasa  Tempatan dan pegawai yang diberi kuasa akan mengawal seluruh  kawasan terlibat. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya