KUALA NERUS: Seramai 123 nelayan di negeri ini menerima sumbangan kawat besi bubu, pukat dan kit keselamatan bernilai RM100,000, hari ini.
Pengagihan bantuan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim.
Katanya, kawat besi itu boleh digunakan nelayan untuk membuat bubu sotong atau ikan sekali gus dapat memanfaatkan tempoh masa sepanjang tidak turun ke laut pada musim tengkujuh nanti.
“Sumbangan kawat besi ini bertujuan menggantikan penggunaan bubu pukat kerana ia lebih tahan lasak dan mudah dibersihkan.
“Segulung kawat yang diberikan ini mampu menghasilkan antara 10 hingga 15 bubu bergantung kepada jenis dan saiz,” katanya kepada pemberita selepas Program Penyerahan Bantuan Peralatan Menangkap Ikan Kepada Nelayan di Batu Rakit di sini.
Selain di Batu Rakit, sumbangan turut diadakan di empat daerah lain iaitu Setiu, Marang, Dungun dan Kemaman. -UTUSAN