SHAH ALAM: Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memerlukan tempoh 12 jam untuk membersihkan paip air serta menstabilkan sistem loji rawatan air (LRA) Sungai Semenyih.
Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri berkata, setakat ini, LRA Sungai Semenyih telah mula mengoperasikan kerja mengepam air mentah pagi ini untuk kerja-kerja pembersihan paip air mentah dan tangki-tangki rawatan air.
“Ujian pensampelan di muka sauk LRS Semenyih mencatatkan bacaan 0 tan tiga kali berturut-turut.
“Bagaimanapun, ujian pensampelan dijalankan sehingga pukul 6 pagi tadi masih mengesan pencemaran di muka sauk LRA Bukit Tampoi pada tahap dua ton. Bekalan air yang diagihkan akan melalui ujian kualiti air dan pematuhan standard Kementerian Kesihatan.
“Air Selangor akan memaklumkan jadual pemulihan bekalan air secara berperingkat bagi kawasan yang menerima air dari LRA Sungai Semenyih,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu Elina berkata, sebanyak 92 buah lori telah dihantar di kesemua tempat terjejas pada pagi ini.
“Sebanyak 22 buah tangki statik, 10 stesen pengisian setempat, sembilan pusat khidmat setempat (PKS) dan 13 pili awam disediakan untuk para pengguna yang terjejas.
“Terdapat tiga PKS dan empat pili awam di daerah Petaling, dua PKS, tiga pili awam di Hulu Langat, dua PKS, tiga pili awam di Kuala Langat dan satu PKS, tiga pili awam di Sepang dan satu PKS di Putrajaya,” katanya. – UTUSAN ONLINE