112 tan gluten jagung dirampas  - Utusan Malaysia

112 tan gluten jagung dirampas 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) negeri merampas sebanyak 112 tan gluten jagung yang cuba dibawa masuk secara haram ke negara ini menerusi Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini kelmarin.

Produk hasil pertanian dalam bentuk serbuk kering itu dirampas ketika pemeriksaan rutin ke atas empat buah kontena di terminal tersebut kira-kira pukul 5 petang.

Pengarah Maqis negeri, Zarina Ramli berkata, rampasan itu dibuat selepas pihaknya mendapati ia cuba dibawa masuk tanpa sebarang permit import yang sah.

“Makanan gluten jagung seberat 112,000 kilogram yang dianggarkan bernilai RM211,777.16 itu merupakan barang dagangan dari China  dan disita untuk siasatan serta tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Zarina, pengimportan produk itu dalam bentuk serbuk kering dipercayai untuk diproses sebagai makanan haiwan bagi pasaran dalam dan luar negara.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN