11,076 katil ditambah tangani Covid-19 - Utusan Malaysia

11,076 katil ditambah tangani Covid-19

DR. ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) telah menambah kapasiti hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Ringan Covid-19 (PKRC) kepada 11,076 katil berbanding 6,795 katil pada 6 Oktober lalu bagi membendung pandemik itu.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, jumlah itu termasuk 3,505 katil di 43 hospital Covid-19 dan 7,571 katil di 46 PKRC seluruh negara. 

Katanya, berbanding pada 6 Oktober lalu, terdapat 2,820 katil di hospital dan 3,975 katil di PKRC.

Menurut beliau, kadar penggunaan katil Covid-19 di seluruh negara ketika ini masih terkawal  iaitu pada kadar 45 peratus di hospital dan 37 peratus di PKRC. 

“Jumlah kes aktif hari ini ialah 6,323 kes, manakala kes sembuh sebanyak 245 kes,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Adham berkata, sebanyak 5,276 katil khusus Covid-19 disediakan bagi penggunaan di Sabah iaitu peningkatan sebanyak 53 peratus berbanding pada 5 Oktober lalu.

Katanya, langkah itu dalam usaha memastikan tahap kesiapsiagaan secara optimum berikutan peningkatan tinggi wabak berkenaan di negeri itu dengan 16 PKRC kini sedia untuk beroperasi.

Beliau menjelaskan, mobilisasi petugas kesihatan ke hospital, klinik kesihatan, pejabat kesihatan daerah dan juga petugas lapangan digerakkan termasuk 140 pegawai perubatan dan 225 Penolong Pegawai Perubatan.

“Kementerian Pertahanan turut membantu menyediakan Hospital Medan yang menempatkan 100 katil, membawa sampel ujian Covid-19 ke semenanjung dan menerbangkan 75,000 kit 

ujian RTK-Antigen serta pelbagai peralatan ke Sabah,” katanya.

Adham berkata, KKM tidak semata-mata menggunakan titik R-naught di dalam membuat analisis dan perancangan strategik yang pragmatik, sebaliknya ia dilakukan secara komprehensif.

Katanya, ini melibatkan pakar-pakar KKM di pelbagai peringkat untuk meneliti semua aspek termasuk kadar kebolehjangkitan, kadar kematian, kadar penggunaan katil, ciri-ciri kluster dan nilai korelasi spatio.

“Kesihatan dan keselamatan nyawa menjadi keutamaan kerajaan dan KKM akan terus mempertingkatkan usaha bersepadu dengan pelbagai pihak untuk menjayakan usaha membendung Covid-19,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya