PUTRAJAYA: Jabatan Penjara mengambil langkah drastik bagi mengurangkan tahap kebolehjangkitan Covid-19 dalam kalangan banduan serta mengurangkan kesesakan di dalam pusat tahanan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, antara langkah itu ialah pesalah kes dadah seksen 15(1) Akta Dadah Berbahaya dikeluarkan dari penjara dan ditempatkan di beberapa kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang diwartakan sebagai penjara sementara.
Katanya, jumlah keseluruhan yang dapat ditampung di kem-kem PLKN adalah disasarkan seramai 2,300 hingga 2,800 banduan.
Menurut beliau, ini termasuk pelaksanaan Pembebasan Banduan Secara Lesen (PBSL) ke atas sabitan hukuman bawah setahun yang baki hukumannya kurang dari tiga bulan.
Katanya, mengikut statistik sehingga 5 Oktober lalu, terdapat 11,018 banduan
dalam kategori itu layak untuk dipertimbangkan bagi PBSL.
“Semua banduan yang dibebaskan
melalui PBSL wajib melepasi kriteria pemilihan ketat yang ditetapkan dan disahkan lulus saringan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, segala tindakan itu sebagai mengambil serius jumlah peningkatan kes positif Covif-19 yang kini melibatkan jumlah besar dalam kalangan banduan di dalam kawasan larangan penjara dan kawasan kawalan ketat.
Katanya, penularan dalam kalangan banduan ini bermula di Penjara Tawau, Sabah apabila seorang banduan yang baru diterima dari Lahad Datu telah disahkan positif pada 2 September lalu dan kluster seterusnya pula dikesan di Penjara Alor Setar pada 29 September.
Pada ketika ini, katanya, jumlah aktif Covid-19 dalam kalangan banduan dan kakitangan penjara seluruh negara telah bertambah 453 kes kepada 1,126 kes berbanding 673 kes semalam.
“Bagaimanapun, orang awam di luar penjara diminta untuk bertenang kerana penularan Covid-19 dalam kalangan banduan dalam kawasan larangan penjara yang tertutup serta dikawal ketat.
“Ini sekali gus memberikan keyakinan penuh terhadap langkah-langkah segera yang diambil oleh pihak Jabatan Penjara di bawah kawal selia ketat dari pihak Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi penguatkuasaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE