MELAKA: Pasukan elit Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 10 Briged Para tidak lagi akan melaksanakan tugas-tugas rutin termasuk operasi mengekang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan tugasan ketenteraman awam lain.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain berkata, komponen Pasukan Atur Cepat (PAC) itu hanya akan dikhususkan untuk menjalani latihan bagi memantapkan lagi tugasan-tugasan spesifik berkuat-kuasa serta merta.
Menurutnya, langkah itu juga bersesuaian dengan peranan 10 Briged Para yang dianggotai 4,800 pegawai dan anggota yang memiliki kemahiran khas seperti menyusup masuk ke kawasan musuh sama ada melalui jalan darat, udara dan perairan.
“Tugasan biasa termasuk Op Murni bagi bencana banjir, Op Pasir dan tugas-tugas ketenteraman awam lain akan diserahkan kepada Batalion Infantri.
“Penguatkuasaan ini akan melibatkan keempat-empat batalion 10 Briged Para iaitu 9 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), 17 RAMD dan 8 Rejimen Renjer Diraja (RRD) yang berpangkalan di Kem Terendak dan 18 RAMD di Seberang Takir, Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas dianugerahkan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged Para di Dataran Parawood 8 RRD, Kem Terendak, di sini hari ini.
Yang turut hadir sempena Hari Ulang Tahun (HUT) pasukan elit tersebut ialah Panglima 10 Briged Para, Brigedier Jeneral Semaon Marjuki .
Penganugerahan itu menjadikan Zamrose sebagai Panglima Tentera Darat ketujuh yang disematkan Sayap Penerjunan Kehormat dan memakai Beret Merun bagi melambangkan keberanian dan semangat keperwiraan.
Dalam perkembangan sama, Zamrose berkata, beberapa perkara juga perlu ditingkatkan dalam pasukan 10 Briged Para itu meliputi aspek komunikasi, mobiliti dan kuasa tembakan.
“Tiga perkara itu akan ditekankan selepas ini dan kita akan cuba masukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi memastikan kesiapsiagaan 10 Briged Para pada setiap masa,” katanya.
Sementara itu, kata beliau, seramai 40 anggota tentera ditambah untuk membantu tugasan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Klang, Selangor bagi tujuan Sekatan Jalan Raya (SJR) dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Ujarnya, pertambahan itu menjadikan jumlah anggota yang terlibat dalam Op Penawar bersama-sama agensi lain adalah seramai 1,140 orang di seluruh negara setakat ini. -UTUSAN