Warga Filipina dakwa ditipu ejen senegara - Utusan Malaysia

Warga Filipina dakwa ditipu ejen senegara

Warga Filipina yang hanya mahu dikenali sebagai Deniis, 56, (dua dari kiri) dan Rosemarie, 44, (dua dari kanan) bersama rakannya menunjukkan salinan laporan polis berhubung kes penipuan permohonan visa di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Pulau Pinang, semalam.– utusan/AMIR IRSYAD OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seramai 22 warga Filipina yang bekerja di negeri ini mendakwa ditipu rakan senegara yang bertindak sebagai ejen atau orang tengah dalam urusan mendapatkan visa pekerja yang sah.

Mereka yang berusia antara 30-an dan 50-an masing-masing be­kerja sebagai tukang cuci, penjaga di rumah-rumah kebajikan dan pekerja di pusat hiburan keluarga berkenaan mendakwa mengalami kerugian antara RM9,000 hingga RM20,000 seorang.

Menurut Pemangku Presiden Persatuan Sokongan Komuniti Rakyat Filipina, Norlita Selgas Pranggos, 29, kesemua mangsa berurusan dengan wanita rakan senegara berusia 40-an ber­kenaan bagi mendapatkan visa yang sah tahun lalu berikutan visa mereka tamat pada Disember 2019.

Bagaimanapun tambahnya, semakan dengan Jabatan Imigresen mendapati tiada rekod permohonan visa pekerja terbabit sedangkan mereka dimaklumkan oleh ejen ber­kenaan proses itu sudah diselesaikan.

Katanya, lebih menyedihkan apabila terdapat pekerja warga Filipina yang menjadi mangsa itu kini diburu ah long selepas terpaksa meminjam wang semata-mata untuk membayar ejen ber­kenaan bagi urusan tersebut.

“Sehubungan itu, pekerja ini merayu ejen berkenaan yang juga sebelum ini merupakan pemimpin persatuan berkaitan komuniti Filipina di sini memulangkan semula wang mereka supaya mereka dapat memohon visa pekerja yang sah.

“Ini kerana mereka kini hidup dalam kebimbangan sekiranya ditahan pihak berkuasa selain buntu memikirkan untuk melunaskan hutang yang dibuat bagi memohon visa berkenaan,” katanya.

Norlita ditemui pemberita selepas membuat laporan polis bersama-sama lima warga Fili­pina yang mendakwa menjadi mangsa ejen terbabit di balai polis daerah Timur Laut di sini semalam.

Menurut Norlita, setakat ini, sebanyak 14 laporan polis telah dibuat oleh mangsa sepanjang tahun ini, sekali gus berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dan menyelesaikan kes itu segera.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis telah menahan ejen wanita berkenaan serta seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki Pakistan bagi membantu siasatan kes itu selepas menerima laporan pertama pada Februari lalu.

Katanya, mereka bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis sementara pihaknya melengkapkan kertas siasatan kerana perlu mendapatkan beberapa dokumen sokongan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya