PONTIAN: Gara-gara bimbang dituduh terlibat jenayah pengubahan wang haram, seorang wanita ‘berputih mata’ apabila wang simpanannya hampir RM200,000 ‘disonglap’ sindiket Macau Scam.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mustafa Bakri Salleh berkata, mangsa berusia 30 tahun sebelum itu menerima panggilan telefon suspek yang menyamar kakitangan Pos Laju berhubung satu bungkusan dihantar ke alamat di Sabah.
Katanya, bungkusan tersebut dikatakan mengandungi kad pengenalan milik mangsa, kad pengeluaran wang automatik serta buku cek dengan mangsa diarah memindahkan sejumlah wang ke beberapa akaun bank.
“Menurut mangsa, suspek memberitahu dia terbabit kes pengubahan wang haram dan diarah memindahkan sejumlah wang ke dalam beberapa akaun jika tidak mahu dikenakan tindakan.
“Namun mangsa yang percaya dengan dakwaan tersebut kemudiannya membuat 14 transaksi pemindahan wang sejak Ogos sehingga bulan ini berjumlah RM195,580 ke dalam beberapa akaun bank seperti diarah suspek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Musfafa Bakri berkata, menyedari telah ditipu, mangsa yang berkerja sebagai operator pengeluaran di Singapura membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pontian semalam.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda.
Sehubungan itu pihaknya mengingatkan orang ramai agar membuat semakan terlebih dahulu dan menghubungi polis jika menerima panggilan mencurigakan.
Katanya, semakan akaun bank yang diberikan pihak mencurigakan boleh dibuat melalui laman www.ccid.rmp.gov.mysemakmule.
“Jangan mudah terpedaya individu tidak dikenali dan berhati-hati dengan trend jenayah seperti Macau Scam yang telah banyak memperdayakan ramai mangsa sebelum ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE