PUTRAJAYA: Saringan Covid-19 ke atas penumpang dari Sabah penting bagi menentukan sama ada berlaku peningkatan kes jangkitan dalam komuniti untuk tempoh dua minggu ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jika berlaku peningkatan kes jangkitan, saringan Covid-19 perlu diperketatkan.
“Dalam tempoh dua minggu ini, kita akan kaji dan ini merupakan salah satu pemantauan bersasar mengesan Covid-19 yang mana biasanya melalui pelaksanaan ujian calitan.
“Kita akan melihat keputusan ujian dan kalau meningkat, kena perketatkan saringan,” katanya selepas merasmikan Bengkel Kejururawatan Bagi Penjagaan Payudara di Institut Kanser Negara (IKN) di sini hari ini.
Noor Hisham berkata, keputusan ujian saringan hanya diketahui dalam tempoh 24 hingga 72 jam dan jika didapati positif, pesakit akan terus dibawa ke hospital.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan meningkatkan jumlah petugas kesihatan dengan 350 hingga 400 petugas melaksanakan ujian saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.
Dalam perkembangan lain, Noor Hisham berkata, sejajar dengan visi dan misi Kementerian Kesihatan mengurangkan peratus pesakit kanser, penting semua pihak berganding bahu meningkatkan kesedaran orang ramai. – UTUSAN ONLINE