Ujian Covid-19 tak boleh tergesa-gesa - Utusan Malaysia

Ujian Covid-19 tak boleh tergesa-gesa

MOHD. Redzuan Md Yusof bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Bil. 1/2020 Bangunan Perdana Putrajaya, di sini, hari ini.-UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Orang ramai diminta faham dan tidak merungut semasa melalui proses saringan Covid-19 khususnya di lapangan terbang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, setiap ujian dan proses yang dilalui itu amat penting kerana petugas Kementerian Kesihatan (KKM) perlu memastikan setiap keputusan yang dikeluarkan adalah betul, tepat dan teliti.

“Kita tidak boleh tergesa-gesa melakukan ujian tersebut kerana setiap ujian yang dilakukan itu untuk memastikan keputusannya secara betul.

“Jadi, saya mohon orang awam untuk memahami prosedur KKM itu contohnya seperti ujian calitan bukannya kita boleh buat secara segera dan mengetahui keputusannya serta-merta,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Bilangan Satu di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan Utusan Malaysia hari ini yang melaporkan aduan orang ramai mengenai ujian saringan Covid-19 yang perlu dilalui memakan masa sehingga lebih sejam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dalam pada itu, mesyuarat tersebut turut bersetuju memberi peruntukan sebanyak RM4.16 juta daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara yang akan disalurkan bagi perbelanjaan operasi bencana dalam tempoh Monsun Timur Laut.

Sebanyak RM50,000 diperuntukkan bagi setiap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi kegunaan agensi-agensi tindak balas di peringkat negeri, manakala, RM20,000 diperuntukkan kepada setiap 159 Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pula akan diperuntukkan sebanyak RM20,000 bagi setiap negeri untuk menampung perbelanjaan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah.    

Sementara itu, Mohd. Redzuan berkata, pihaknya tidak akan mengerahkan anggota APM untuk mengiring orang ramai yang perlu menjalani kuarantin selama 14 hari di rumah selepas pulang dari Sabah.

Katanya, APM sendiri sudah mempunyai tanggungjawab tersendiri semasa di KLIA termasuk mengiring individu dalam siasatan (PUI) dan individu bawah pengawasan (PUS) Covid-19.

“Kita tidak mengerahkan anggota APM untuk menghantar individu yang tiba di lapangan terbang ke rumah tetapi sekiranya dibawa ke tempat kuarantin yang lain, maka APM boleh dikerahkan untuk membantu mereka.

“Contohnya, anggota APM sendiri membawa PUS dari Johor ke Pulau Pinang dalam suasana kuarantin kerana menghadiri upacara pengkebumian dan ini merupakan antara usaha kita membantu menguruskan segala bentuk masalah yang dihadapi oleh orang awam. 

“Setakat ini, kita sudah mempunyai 50 anggota APM di KLIA dan kita boleh kerahkan lagi kerana keseluruhannya ada kira-kira 4,000 anggota berdaftar di seluruh negara. Itu adalah tahap kesiapsiagaan APM daripada sudut sumber manusia sekiranya ada keperluan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN