“Tunggu dan lihat” - PH Johor - Utusan Malaysia

“Tunggu dan lihat” – PH Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : ”Tunggu dan lihat.” Demikian respons ringkas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan ketika ditanya kedudukan Kerajaan Negeri Johor ekoran kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk Kerajaan Pusat.

Katanya lagi, semua pihak diminta untuk tunggu perkembangan lanjut dalam masa terdekat.

“Tunggu dan lihat sehari dua ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Anwar hari ini berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang selepas mendakwa pihaknya memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan.

Jelas Presiden PKR itu, kerajaan baharu tersebut adalah gabungan ahli Parlimen daripada pelbagai parti, namun tidak menyebut berapakah jumlah majoriti yang diperolehnya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kini memiliki 56 kerusi dengan agihan sebelum ini adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, Bersatu (12), MIC (dua), PAS (satu), Amanah (9) dan PKR (empat).

Ia menjadikan kerajaan PN mempunyai 29 kerusi berbanding PH 27 kerusi, manakala majoriti mudah bagi membentuk kerajaan baharu di Johor ialah 29 kerusi.

Sebelum ini timbul desas-desus bahawa Kerajaan PN Johor akan tumbang ekoran spekulasi beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) kerajaan akan menyokong pembangkang iaitu PH.

Perkara itu terjadi sebaliknya apabila Sidang DUN Johor pada minggu lalu berakhir tanpa usul tidak percaya dikemukakan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN