Tukang rumah warga Bangladesh maut kereta terbabas - Utusan Malaysia

Tukang rumah warga Bangladesh maut kereta terbabas

KEADAAN kereta Perodua Kancil dinaiki seorang tukang rumah warga Bangladesh yang maut dalam kemalangan di Kilometer 90 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Bukit Besi, Dungun di Terengganu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN : Seorang tukang rumah warga Bangladesh maut selepas kereta yang dinaiki bersama tiga rakannya  kemalangan di Kilometer 90 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Bukit Besi, hari ini. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa yang tidak memiliki sebarang pengenalan diri dan dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada badan. 

Mangsa yang dikatakan duduk di bahagian penumpang hadapan kereta jenis Perodua Kancil itu tersepit manakala tiga rakannya termasuk pemandu yang kesemuanya cedera bertindak melarikan diri dari lokasi kejadian.

Difahamkan warga asing berkenaan  dalam perjalanan dari Bukit Besi ke Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) di sini untuk bekerja sebelum kenderaan mereka hilang kawalan lalu terbabas hingga memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebatang tiang elektrik.

Mangsa yang tersepit bagaimanapun berjaya dibawa keluar oleh sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar AMBS.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu. 

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya