TASEK GELUGOR: Seorang tukang gunting rambut terbunuh selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas dan merempuh sebatang pokok di Jalan Nyior Sebatang, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.10 pagi itu, mangsa, S. Manikandan, 40, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipandu mangsa dari arah Sungai Dua menghala Pokok Sena hilang kawalan.
“Ekoran itu, kenderaan tersebut melanggar sebatang pokok di tepi jalan dan mangsa yang cedera parah pada kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk urusan bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN