Tarik kerakyatan individu hina Agong -NGO - Utusan Malaysia

Tarik kerakyatan individu hina Agong -NGO

Nordin Wahid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Hukuman penjara dan denda seolah-olah langsung tidak membangkitkan rasa gentar kepada pelampau-pelampau yang bertindak menghina Yang di-Pertuan Agong. 

Sehubungan itu, Pengerusi Alumni Majlis Belia Felda Wilayah Jengka, Datuk Nordin Wahid mencadangkan golongan penghina Yang di-Pertuan Agong ditarik balik taraf kewarganegaraan. 

“Rakyat yang cintakan kemakmuran dan kedamaian berasa sangat tidak selesa dengan sikap biadap segelintir rakyat yang terus menghina Yang di-Pertuan Agong dan pimpinan negara. 

“Golongan ini (penghina) seakan tidak gentar, jadi sudah sampai masanya hukuman lebih tegas dikenakan demi memberikan pengajaran dan rasa gentar dalam kalangan rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

CIAPAN pengguna Twitter atas nama @DilahJohn yang menghina Yang di-Pertuan Agong dan digesa supaya dikenakan tindakan tegas.

Beliau mengulas tindakan seorang pengguna laman sosial Twitter, @DilahJohn yang dalam ciapannya menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas Seri Paduka mengadu kurang selesa dengan kesihatan baginda.

Selain itu, dalam ciapannya, @DilahJohn turut menghina Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. 

Pengerusi Biro Sosial Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR ) Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, kes menghina Agong bagai tiada penghujung dan mencabar rakyat yang menjunjung lima prinsip Rukun Negara.

“Saya berpendapat sudah sampai masanya golongan penghina Agong dikenakan penjara, sebatan dan denda yang lebih tinggi,” katanya. 

Srikandi Pertubuhan Kumpulan Tentera Tidak Berpencen Negeri Pahang, Yasmin Ali mahu sikap biadap terhadap kedaulatan institusi raja-raja di negara ini ditangani dengan tuntas. 

“Rakyat mahu tindakan tegas diambil kepada pelampau-pelampau terbabit untuk dijadikan pengajaran kepada individu lain yang  sewenang-wenangnya bersikap kurang ajar di laman media sosial,” tegasnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya