Sumbang RM1 bantu kanak-kanak pesakit kanser  - Utusan Malaysia

Sumbang RM1 bantu kanak-kanak pesakit kanser 

ZUBAYDAH Zamri (kiri) ketika menyerahkan bantuan kepada kanak-kanak pesakit kanser hasil sumbangan orang ramai menerusi pembelian makanan sihat jenama itu. -UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Hanya dengan membeli set makanan sihat dan organik seperti salad dan sandwish daripada Nature Bites, orang ramai boleh menyumbang RM1 untuk membantu kanak-kanak pesakit kanser yang memerlukan bantuan.

Inisiatif Nature Bites itu digerakkan pengusahanya, Zubaydah Zamri, 44, kira-kira dua tahun lalu selepas kehilangan anak lelaki tunggalnya, Muhamad Muhaimin Abdullah, 3, akibat penyakit kanser neuroblastoma.

Zubaydah berkata, Nature Bites adalah usahanya untuk meringankan beban keluarga kanak-kanak penghidap kanser.

“Nature Bites memberi fokus kepada pemakanan sihat serta seimbang dan dari setiap pembelian pelanggan, RM1 akan disalurkan kepada Dana 3M iaitu Dana Muhammad Muhaimin Mission.

“Selepas Dana 3M mencapai RM200 setiap bulan, saya akan membeli barangan keperluan kanak-kanak pesakit kanser seperti pampers, susu, mainan dan lain-lain untuk diserahkan kepada mereka di Hospital Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Zubaydah yang bekerja sebagai pembantu penyelia perpustakaan di sebuah universiti swasta di sini berkata, dia pernah merasai sendiri betapa sukarnya seorang ibu berdepan dengan kekangan kewangan untuk membiayai kos rawatan anaknya.

“Saya pernah tiada wang di dalam poket jadi saya tidak mahu ibu bapa lain yang mempunyai anak pesakit kanser merasai apa yang saya alami dahulu,” katanya.

Tambah Zubaydah, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, dia berdepan kesukaran untuk mendapatkan dana bagi mengisi Dana 3M.

Katanya, ketika itu, ramai ibu bapa pesakit kanser menghubunginya untuk memohon bantuan namun tiada tempahan makanan sihat daripada orang ramai.

“Jadi, saya berharap ketika ini dalam keadaan kembali pulih orang ramai dapat bersama-sama menyumbang kepada kanak-kanak pesakit kanser bersama-sama Nature Bites,” katanya.

Produk makanan sihat dan organik daripada Nature Bites yang berharga bermula RM7.90 itu boleh didapati di laman Facebook Nature Bites Kitchen dan laman Instagram usebook.cafe. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN