KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) berharap lebih ramai umat Islam beralih kepada Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB) melalui potongan gaji.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, zakat melalui potongan gaji merupakan cara lebih mudah, malah membantu perbelanjaan lebih teratur dan mereka yang memilih skim ini mendapat pelepasan cukai pendapatan.
Katanya, Skim PZB memudahkan organisasi itu untuk menyantuni lebih ramai pelajar yang kurang berkemampuan dan golongan asnaf dengan memberi sumbangan meringankan beban mereka.
“Majlis Sumbangan Khaira PPZ kepada Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM) ini bertujuan membantu pelajar asnaf dan pada masa sama untuk menggalakkan lebih ramai orang menunaikan ibadah zakat.
“Menunaikan zakat melalui potongan gaji ini bukan sahaja cara lebih mudah malah boleh merangka perbelanjaan lebih teratur selain mendapat pelepasan cukai pendapatan,” katanya di sini semalam.
Dalam majlis itu, seramai 100 pelajar asnaf dan golongan kurang berkemampuan (B40) KUPTM mendapat manfaat sumbangan kewangan sekali gus dengan jumlah keseluruhan RM18,000.
Sumbangan itu katanya, daripada dana wakalah syarikat-syarikat korporat yang membayar zakat di PPZ-MAIWP.
Ahmad Shukri berkata, pihaknya akan terus berusaha mempergiatkan program membantu golongan memerlukan.
“Kami ada matlamat untuk menambah sumbangan kepada universiti dan para pelajar. Kami juga masih mengkaji apa bantuan yang terbaik, sama ada dalam bentuk kewangan ataupun bekalan makanan kering,” ujarnya. – UTUSAN