GEORGETOWN: Polis berjaya menumpaskan satu kegiatan sindiket penipuan nombor ramalan selepas menahan tiga lelaki dalam serbuan berasingan di Perak, Ahad lalu.
Ketiga-tiga suspek lelaki berusia 46 hingga 63 tahun itu diberkas Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Bercham, Kampung Tawas dan Batu Gajah, Perak.
Ketua JSJN negeri, Asisten Komisioner Rosni Mohd. Lazim berkata, penahanan suspek dilakukan susulan laporan seorang mangsa wanita berusia 69 tahun pada 3 September lalu.
Menurutnya, hasil siasatan lanjut mendapati mangsa diperdaya sindiket menyamar sebagai warga Myanmar dengan menjanjikan upah RM60,000.
“Mangsa telah membuat bayaran sebanyak RM12,000 secara tunai bagi urusan menebus wang kemenangan tiket toto yang kononnya dimenangi salah seorang sindiket.
“Susulan laporan itu, polis berjaya menangkap ketiga-tiga suspek termasuk ketua perancang di tiga lokasi berasingan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.
Beliau memberitahu, polis turut merampas pelbagai peralatan dan resit toto palsu termasuk wang tunai RM500. – UTUSAN