Semangat Malaysia di Bukit Taisho - Utusan Malaysia

Semangat Malaysia di Bukit Taisho

KEINDAHAN pemandangan dari atas Bukit Taisho termasuk pelbagai binaan berasaskan buluh serta kibaran puluhan Jalur Gemilang menggamit kunjungan para pendaki.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Siapa sangka di sebalik nama Bukit Taisho di Bahau, dekat sini, yang semakin dikenali oleh penggemar aktiviti pendakian, terdapat semangat Malaysia yang ‘menghidupkannya.

Pengunjung datang dan pergi, namun, keindahan bukit berkenaan termasuk pelbagai binaan berasaskan buluh serta kibaran puluhan Jalur Gemilang sering diperkatakan orang ramai.

Menurut Timbalan Pengerusi Kelab Kembara Bukit Taisho, Alwi Alias, 48, segalanya bermula pada tahun 2017, apabila lokasi berkenaan menjadi tular di media sosial dan saban minggu dikunjungi orang ramai.

“Apa yang lebih menarik lagi, lebih tiga pemilik tanah berbangsa Tionghua di bukit ini bukan hanya memberi kebenaran untuk masyarakat berbilang bangsa datang beriadah tanpa sebarang bayaran, bahkan turut sama menyokong mengindahkan puncak bukit.

“Dalam tempoh lebih tiga tahun, kira-kira RM10,000 dana daripada ahli kelab serta sumbangan individu digunakan bagi menyediakan pelbagai tarikan dan hiasan di puncak Bukit Taisho seperti pondok, tempat duduk, dan juga buaian,” katanya ketika kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Alwi yang juga antara individu awal yang meneroka bukit berkenaan berkata, Kelab Kembara Bukit Taisho itu dianggotai oleh tujuh orang ahli jawatankuasa iaitu empat orang berketurunan Tionghua dan juga tiga Melayu.

Menurutnya, setiap kali mahu membuat hiasan di puncak, kesemua ahli akan bergotong-royong menyumbang kemahiran masing-masing membuat pondok, meja, buaian dan kerusi.

“Ahli kami terdiri daripada seawal usia 30-an hinggalah ke 70-an, semuanya berganding bahu mengindahkan bukit ini. Malah, ada juga pendaki yang turut sama membantu kami membuat pelbagai binaan di atas bukit ini tanpa sebarang bayaran.

“Pada awalnya hanya ada satu puncak yang dihias sahaja, namun disebabkan bukit semakin dikunjungi orang ramai bukan hanya penduduk di negeri ini, bahkan dari luar, pemilik tanah berdekatan memberi kebenaran menghiaskan puncak bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pendaki merakamkan kenangan,” katanya.

Tambahnya, puncak kelima iaitu Puncak Harimau menjadi puncak terbaharu diperindahkan selain lokasi seperti Warung D’ Bukit, Sky Mirror dan Kerusi Permaisuri.

“Jika diikutkan perancangan asal, kami merancang untuk membina satu lokasi yang mempunyai ciri-ciri masyarakat Melayu pula iaitu pangkin seperti di tepi sawah, namun binaan ini tidak dapat dibuat berikutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Alwi berkata, kini penduduk di Bahau di sini boleh berbangga apabila Bukit Taisho menjadi antara salah satu tarikan pelancongan di Negeri Sembilan yang dikunjungi oleh pengunjung seperti dari Johor, Melaka, Pahang dan Selangor.

Bukit Taisho yang mempunyai ketinggian hampir 300 meter dari paras laut dan sekiranya bernasib baik, pendaki berpeluang menyaksikan pemandangan `awan karpet’.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya