JOHOR BAHRU: Perairan Johor terus menjadi sasaran kapal asing berlabuh tanpa kebenaran dengan kali ini melibatkan sebuah kapal tangki membawa muatan minyak mentah yang berdaftar dari Singapura.
Terkini, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal tangki itu di kedudukan 4.5 batu nautika tenggara Tanjung Piai, Pontian.
Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki itu ditahan pihaknya pada pukul 12 tengah hari.
“Semasa Maritim Malaysia Johor melaksanakan Op Benteng, anggota mengesan sebuah kapal tangki di perairan Johor.
“Siasatan dibuat kemudian mendapati kapal tangki berdaftar di Singapura itu gagal mengemukakan kebenaran bersauh oleh Pengarah Laut Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, kapal itu dikendalikan seorang nakhoda kapal berusia 51 tahun beserta lapan kru kapal berusia antara 31 hingga 43 tahun dengan kesemuanya merupakan warga Indonesia.
“Dua orang kru kapal telah dibawa ke Jeti Maritim Sungai Pulai untuk diserahkan kepada Seksyen Siasatan Maritim Malaysia Johor untuk tindakan lanjut.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(I) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Maritim Malaysia terus meningkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang maritim di perairan Negeri Johor dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan perairan negara. -UTUSAN