Satu dari lima penduduk Perlis perokok - Utusan Malaysia

Satu dari lima penduduk Perlis perokok

jemaah
TUANKU SYED FAIZUDDIN PUTRA JAMALULLAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Perokok dinasihatkan mendapatkan perkhidmatan di Klinik Berhenti Merokok (KBM) di mana-mana klinik kesihatan sekitar negeri ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, semua sedia maklum asap rokok sangat merbahaya untuk kesihatan diri dan juga ahli keluarga.

“Rokok mengandungi lebih kurang 4,000 bahan kimia beracun dan kira-kira 63 daripada bahan kimia tersebut boleh menyebabkan kanser,” titah baginda di Masjid Al-Mustaqim Seriab di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Sirajuddin Hashim berkata,  hasil Kajian Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 bagi penyakit tidak berjangkit mendapati bahawa sebanyak 21.3 peratus penduduk di negara ini yang berusia 18 tahun dan ke atas adalah perokok. 

Katanya, Perlis sendiri telah mencatatkan prevalens sebanyak 20.6 peratus dengan anggaran seramai 35,398 orang atau satu daripada lima penduduk merupakan perokok.

“Antara contoh bahan kimia beracun di dalam asap rokok adalah tar iaitu bahan untuk membuat jalan raya, Ammonia (bahan dalam pencuci lantai), Napthylamine (ubat gegat), Arsenik (racun anai-anai), Nikotin (bahan yang boleh mendatangkan ketagihan) dan Kadmium (terdapat dalam bateri).

“Selain itu terdapat juga bahan kimia DDT iaitu ubat nyamuk, Formaldehyde (untuk mengawet mayat), Butane (gas yang boleh membunuh), Methanol (bahan pembakar untuk roket), Hydrogen cyanide (racun) dan Toluene (bahan pelarut),” ujarnya.

Terdahulu,  Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada 32 orang mangsa terkesan berikutan ribut tropika yang melanda Perlis pada 18 dan 19 September lalu di masjid tersebut.

Daripada jumlah tersebut, seramai 20 mangsa  menerima bantuan bencana dan empat mangsa menerima bantuan baik pulih rumah bernilai RM10,000 sehingga RM30,000. 

Selebihnya pula menerima bantuan melalui program ziarah dan turun padang pihak MAIPs dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Persatuan Komuniti Sukarelawan Negeri Perlis. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN