ALOR SETAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri melakukan disanitasi di Rumah Pangsa Tongkang Yard, Seberang Perak di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) secara bersasar susulan penularan Covid-19.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Kanan Bomba I, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, seramai 11 anggota melakukan proses sanitasi kira-kira pukul 10 pagi ini.
“Kawasan liputan sanitasi awam Covid-19 ini melibatkan keseluruhan bangunan rumah pangsa tersebut,” katanya di sini hari ini.
Rumah pangsa tersebut mempunyai dua blok bangunan dengan 120 unit rumah.
Beliau berkata, bahan kimia yang digunakan dalam proses sanitasi adalah jenis sodium hypoclorite dengan kepekatan bahan 0.1 peratus.
“Kita menggunakan peralatan pam semburan dalam kerja-kerja sanitasi ini,” katanya.
Temco dilanjutkan di perumahan tersebut sehingga 7 Oktober depan bagi membolehkan saringan kedua dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan selepas penilaian mendapati kawasan itu paling berisiko tinggi.
Sebanyak sembilan kes positif dilaporkan berlaku dalam kalangan penghuni rumah pangsa berkenaan.-UTUSAN