KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) memperuntukkan wang ihsan sebanyak RM4.2 juta bagi membina rumah untuk 80 asnaf menerusi program Bantuan Rumah Kediaman.
Timbalan Yang Dipertua (Maik) Zulkifli Ab Rahman berkata, rumah bernilai RM48,000 setiap satu itu akan dibina tahun depan.
“Kita sudah menerima senarai 80 asnaf yang berjaya dalam permohonan Bantuan Rumah Kediaman.
“Permohonan itu adalah mengikut syarat ditetapkan dan hanya mereka yang layak sahaja dipilih di setiap jajahan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan 2019 dan Perbincangan Kerjasama Strategik Agrobank-Maik.
Dalam majlis itu zakat berjumlah RM142,733 diserahkan oleh Pengarah Wilayah Agrobank Ibrahim Syed Mohd Al Mashoor.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, antara syarat lain bantuan tersebut adalah pembinaan rumah dengan tiga bilik itu perlu dibuat di atas tanah sendiri pemohon atau tanah ahli keluarga yang sudah diberi kebenaran oleh pemilik.
Beliau memberitahu, sebelum ini Maik sudah menyediakan sebanyak 160 rumah sama untuk asnaf terpilih dengan kebanyakannya masih dalam pembinaan.-UTUSAN