KANGAR: Tempoh tahanan reman dua beranak dan seorang remaja berusia 16 tahun yang terlibat dalam sindiket dadah terbesar dalam sejarah negeri ini, dilanjutkan selama tujuh hari sehingga Isnin depan.
Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kangar, Monica Joseph Gaisah membenarkan permohonan lanjutan reman tersebut terhadap suspek yang berusia 43 dan 16 tahun itu.
Ketiga-tiga suspek yang memakai baju lokap berwarna oren dan unggu tiba di perkarangan mahkamah di sini pada pukul 9.50 pagi dengan diiringi pegawai polis.
Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, pihaknya masih menyiasat bagaimanana dadah dengan jumlah yang cukup besar itu boleh diseludup masuk ke negara ini.
“Buat masa ini belum ada tangkapan baharu dari sindiket sama yang dibuat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas berkata, pihaknya masih melengkapkan siasatan dan berkemungkinan ada beberapa tangkapan baru, dalam tempoh terdekat.
Pada 2 September lalu, Polis Perlis mematahkan sindiket dadah terbesar di negeri ini selepas menahan tiga lelaki termasuk dua beranak dalam serbuan di sebuah rumah di Felda Rimba Emas, Padang Besar.
Dalam serbuan pada awal pagi tersebut, polis merampas 126 kilogram syabu dan 100 kilogram ganja yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM6.58 juta.
Kesemua suspek yang menganggur dan tidak bersekolah itu tiada rekod jenayah dan ujian saringan air kencing mendapati mereka positif syabu.
Kes tersebut di siasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.
Polis turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucutan Harta) 1988 ke atas rumah suspek kerana digunakan sebagai tempat menyimpan dan mengedar dadah.-UTUSAN